Sejarah Bintulu Port Authority (Sarawak)



SEJARAH PENUBUHAN

Lembaga Pelabuhan Bintulu ditubuhkan pada 15 Ogos 1981 di bawah Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 sebagai sebuah Badan Berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia. Penubuhannya bertujuan untuk membangunkan, mentadbir dan menyediakan perkhidmatan pelabuhan yang lengkap dan cekap, di samping menjadikan Pelabuhan Bintulu sebagai pusat pengangkutan dan pengedaran yang utama dalam rangkaian BIMP-EAGA. Pelabuhan Bintulu mula beroperasi pada 1 Januari 1983.

Terletak di bahagian Timur Laut Sarawak, Pelabuhan Bintulu mempunyai kedudukan strategik di laluan perdagangan antara Timur Jauh dan Eropah serta merupakan salah satu laluan utama eksport gas asli cecair (LNG) Malaysia. Pelabuhan ini turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan peralatan moden bagi mengendalikan pelbagai jenis kargo, termasuk kontena, kargo pukal cecair dan kering serta kargo am.

 

PENSWASTAAN DAN PERANAN BINTULU PORT SDN. BHD. (BPSB)

Mulai 1 Januari 1993, operasi perkhidmatan pelabuhan telah diswastakan di bawah Akta Pelabuhan-Pelabuhan (Penswastaan) 1990. Susulan daripada penswastaan tersebut, Bintulu Port Sdn. Bhd. (BPSB) telah dilantik sebagai pengendali pelabuhan berlesen bagi menjalankan operasi dan penyediaan perkhidmatan pelabuhan.

Penswastaan ini telah mewujudkan pembahagian peranan yang jelas antara pihak berkuasa pelabuhan dengan pengendali pelabuhan. Dalam struktur tersebut, BPSB bertanggungjawab terhadap pengoperasian dan penyampaian perkhidmatan pelabuhan, manakala Lembaga Pelabuhan Bintulu terus memainkan peranan sebagai pihak berkuasa yang memberi tumpuan kepada fungsi kawal selia, pengurusan aset, perancangan dan pembangunan pelabuhan serta fasilitasi perdagangan.

Kerjasama dan hubungan antara Lembaga Pelabuhan Bintulu dengan BPSB telah menjadi sebahagian penting dalam pembangunan dan kesinambungan operasi Pelabuhan Bintulu selama lebih tiga dekad. Melalui struktur pengoperasian tersebut, Pelabuhan Bintulu terus berkembang sebagai sebuah pelabuhan strategik yang menyokong aktiviti perdagangan, industri, eksport dan rantaian logistik di Sarawak serta di peringkat antarabangsa.

 

PERALIHAN KEPADA BINTULU PORT AUTHORITY (SARAWAK)

Setelah lebih empat dekad beroperasi sebagai sebuah pelabuhan Persekutuan, Pelabuhan Bintulu memasuki satu fasa baharu susulan pengambilalihan oleh Kerajaan Sarawak.

Berkuat kuasa pada 1 September 2026, status Pelabuhan Bintulu berubah daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan Negeri Sarawak, dan Lembaga Pelabuhan Bintulu ditukar nama kepada Bintulu Port Authority (Sarawak) (BPAS).

Perubahan status ini menandakan satu perkembangan penting dalam sejarah Pelabuhan Bintulu, dengan fungsi dan tanggungjawab pihak berkuasa pelabuhan kini dilaksanakan di bawah pentadbiran Sarawak. BPAS terus memainkan peranan dalam aspek kawal selia, pengurusan aset, perancangan dan pembangunan pelabuhan serta fasilitasi perdagangan, manakala hubungan kerja dan pengoperasian bersama Bintulu Port Sdn. Bhd. (BPSB) terus menjadi elemen penting dalam memastikan kesinambungan, kecekapan dan kelancaran operasi Pelabuhan Bintulu.

Dalam fasa baharu ini, BPAS dan BPSB masing-masing mempunyai peranan yang saling melengkapi dalam memastikan Pelabuhan Bintulu terus berfungsi sebagai pintu masuk perdagangan, pusat logistik dan hab maritim strategik Sarawak.

Peralihan daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan Negeri Sarawak bukan sahaja mencerminkan perubahan dari segi pentadbiran dan struktur kawal selia, tetapi turut membuka satu fasa baharu dalam pembangunan Pelabuhan Bintulu yang menekankan kesinambungan operasi, pengukuhan tadbir urus, pembangunan infrastruktur, kecekapan perkhidmatan serta daya saing pelabuhan.

Dengan sejarah pembangunan yang kukuh, sokongan infrastruktur dan kepakaran operasi BPSB serta peranan kawal selia dan pembangunan yang diteruskan oleh BPAS, Pelabuhan Bintulu berada pada kedudukan strategik untuk terus berkembang sebagai pintu masuk perdagangan dan hab logistik utama Sarawak, di samping menyokong pertumbuhan ekonomi negeri dan memperkukuh kedudukan Sarawak dalam rangkaian perdagangan serantau dan antarabangsa.


 
 
 
Statistik Pelawat
 
Kami ada di  Pautan ke Versi Mobile Pautan ke Newsletter Subscribtion Pautan ke Suapan RSSPautan ke Facebook Pautan ke Instagram
 
 
 
 
Senarai Keseluruhan Agensi bagi Pensijilan EKSA
Arkib Elektronik
W3C
Multi Language [EN] | [MY]
Advanced Search Function
myprestasi

MyHRMIS Mobile